KUALA LUMPUR – Perbezaan ideologi politik tidak menghalang UMNO dan PAS untuk berada di ‘pentas’ sama dalam memperjuangkan isu kemanusiaan etnik Rohingya di Myanmar.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia Tan Sri Annuar Musa berkata UMNO dan PAS membuktikan kematangan politik yang memperjuangkan kebenaran dalam membela kekejaman terhadap etnik Rohingya.
“Saya gembira melihat pemimpin parti politik negara hadir di majlis ini, kita ketepikan soal perbezaan, perebutan kerusi dan soal pilihan raya serta memfokuskan kepada isu kemanusiaan di Myanmar.
“Kita tunjukkan pada dunia bahawa politik dalam negara ini adalah politik yang matang dan kepimpinan kita adalah kepimpinan bertanggungjawab serta tidak memencilkan diri kita dengan isu-isu tempatan,” katanya ketika ditemui pemberita di Perhimpunan Solidariti Ummah Rohingya di Tasik Titiwangsa di sini, hari ini.
Perhimpunan itu dihadiri Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, kepimpinan UMNO dan PAS serta lebih 20,000 hadirin termasuk etnik Rohingya yang berada di Malaysia.
Annuar berkata masyarakat antarabangsa kini perlu memboikot Myanmar dari segi perdagangan.
“Jika kita dan masyarakat antarabangsa boleh memboikot perdagangan dengan Iraq satu ketika dahulu ataupun dengan Iran, mengapa tidak boleh buat perbuatan yang sama untuk menyelamatkan masyarakat Islam di Rohingya,” katanya.
Himpunan aman solidariti itu bagi melahirkan keprihatinan masyarakat Malaysia terhadap kekejaman yang dilakukan ke atas etnik Rohingya di Myanmar, terutama di perkampungan Rohingya di Rakhine. – BERNAMA