BESUT – Polis menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan tidak membenarkan sesiapa yang tidak dikenali memasuki rumah bagi mengelak berlaku jenayah tidak diingini.
Ketua Polis Daerah Besut, Supt. Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata pengabaian keselamatan boleh mengundang jenayah samun, rompak dan cabul, yang mungkin dilakukan oleh mereka yang pada awalnya kelihatan baik dan sopan.
“Walaupun orang itu kelihatan baik atau dalam kesusahan, jangan sekali-kali membenarkan mereka masuk ke dalam rumah lebih-lebih lagi sekiranya kita tinggal berseorangan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas beberapa kejadian rompak di kawasan Besut yang disebabkan tindakan mangsa yang membenarkan suspek masuk ke rumah.
Menurut Mohd. Zamri, suspek biasanya datang ke rumah dengan menaiki kereta bersama rakan dan akan cuba memasuki rumah dengan berpura-pura untuk membuat pemeriksaan atau hendak ke tandas sebelum menyamun. – BERNAMA