TOKYO – Para peragawati menggayakan hijab pelbagai gaya anggun dan warna serta pakaian menarik yang menutup aurat dalam satu acara pentas peragaan di ibu kota Jepun baru-baru ini.
Menurut para penganjur kepada agensi berita Reuters, program yang julung kali itu melibatkan sebuah pertunjukan fesyen Muslimah seumpamanya diadakan khusus untuk wanita Muslim di negara matahari terbit tersebut.
Corak bermotifkan bunga merupakan antara rekaan yang dipaparkan pada pakaian-pakaian labuh dan panjang serta tudung yang diperagakan dalam pertunjukan fesyen Muslimah yang pertama kali berlangsung di Jepun itu.
Ia diadakan sebagai sebahagian daripada acara Ekspo Halal Jepun yang berlangsung selama dua hari. Sekitar 10 jenama, termasuk dari Singapura, mempamerkan rekaan masing-masing di Pertunjukan Fesyen Sopan Tokyo.
Selain itu, sebahagian rekaan juga banyak menyuntik elemen tradisional Jepun, menurut laporan portal berita fesyen terkenal AJ+. Antara jenama Singapura yang menyertai pertunjukan fesyen itu ialah MeemClothings.
Nur Hanis, pereka fesyen dan pengasas jenama tersebut, memberitahu AJ+: “Saya rasa fesyen mampu menawarkan pelbagai peluang. Ada pelbagai cara untuk mereka cipta atau memakai hijab secara bergaya dan menutup aurat.
“Saya rasa orang ramai harus lebih terbuka kepada rekaan-rekaan baru.” Pandangan itu turut dipersetujui beberapa lagi pereka Singapura yang kebetulan menyertai pertunjukan fesyen Muslimah di Tokyo itu termasuk Lynn Siregar.
Beliau mempamerkan jenamanya Weddingku Gallery dan jenama Alia Anggun. Menurut Reuters, dianggarkan sekitar 100,000 orang Islam tinggal di Jepun, sebahagian besarnya warga asing khasnya dari rantau Asia tenggara.
Para penganjur memberitahu AJ+ bahawa terdapat peningkatan jumlah penduduk Jepun menganut agama Islam setiap tahun dan kedatangan pelancong Muslim terutama menjelang Sukan Olimpik Musim Panas Tokyo 2020.
Ini menyaksikan trend permintaan tinggi terhadap pakaian bertema Islam dan makanan halal. Jepun setakat ini hanya ada kira-kira 40 buah masjid dan lebih 100 buah surau di seluruh negara. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA