KUALA TERENGGANU – Seorang juruwang warga asing sebuah stesen minyak di sini nyaris maut apabila tembakan yang dilepaskan seorang perompak hanya mengenai komputer di kaunter pembayaran stesen minyak itu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Idris Abd Rafar berkata ketika kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu juruwang berkenaan telah didatangi seorang lelaki yang memakai helmet bertutup.
“Lelaki berkenaan tiba-tiba meminta juruwang yang berusia sekitar 30-an tersebut menyerahkan wang kepadanya namun permintaan itu tidak diendahkannya.
“Suspek menghulurkan tangan menerusi ruang pembayaran bahagian luar akibat berang permintaannya itu tidak dilayan, suspek bertindak melepaskan satu das tembakan ke arah komputer yang berada di atas kaunter terbabit,” kata Idris kepada Bernama.
Insiden itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kerugian ataupun kecederaan.
Katanya, pihaknya juga telah meneliti rakaman kamera tertutup (CCTV) pada stesen minyak tersebut dan siasatan berhubung kes itu sedang dijalankan. – BERNAMA