KETUA Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Izelan Basar menegaskan komitmen stesen penyiaran Islam Nombor Satu negara akan berjuang bagi memastikan jenama produk halal dan keusahawan Muslim akan dipacu ke puncak melalui pembabitan TV AlHijrah sebagai kuasa promosi utama Festival MAHA.
“Ini festival bersejarah tempat usahawan Muslim mempromosi kebangkitan jenama Bumiputera dan segmen halal. MAHA akan bangkit bersama sejarah baharu sebagai tanda aras terbesar pemasaran dan pameran jenama halal,” katanya.
TV AlHijrah menjadi stesen pertama mempromosi MAHA secara besar-besaran dengan empat jam sehari siaran langsung selama bermula 10 pagi hingga 8 malam sepanjang 1 hingga 11 Disember ini.
“Kami mengeluarkan biaya yang besar semata-mata mahu memastikan iltizam menjadikan MAHA destinasi nasional dan internasional jenama halal dalam sektor pertanian tercapai,” katanya.
Izelan serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Ahmad Shabery Cheek bertemu baru-baru ini dalam perancangan strategik menjayakan MAHA 2016 terutama usaha mempromosi lebih 5,000 produk hasil pembabitan lebih 1,500 syarikat keusahawanan berasaskan sumber pertanian.
Menurut Ahmad Shabery, selain tema konvensional berteraskan agrokultur, MAHA 2016 lebih strategik dengan peluasan empayar pemasarannya merangkumi segmen perkampungan industri desa, perkhemahan belia serta kehadiran taman tema mini Upin & Ipin.
MAHA 2016 diadakan di Maeps, Serdang, Selangor dan dibuka pada kunjungan ramai bermula 10 pagi hingga 10 malam. MAHA kali ini menyasarkan 3.5 juta pengunjung.
Bagi penonton di rumah, selain mengikuti pelbagai aktiviti harian di tapak MAHA selama empat jam sehari, TV AlHijrah turut menyediakan 12 slot strategik melalui program Assalamualaikum dan Bfrenz khusus bertujuan mempromosi jenama halal hasil keluaran usahawan Muslim.
“Kita jangan lupa, MAHA akan menjadi antara spot utama dunia dalam melihat sumber produk halal yang kini bernilai hampir RM7 trilion dalam pasaran global. Tiap empayar besar secara realistik akan ada titik-titik utama di seluruh dunia,” kata Izelan.
Justeru katanya, jangan lupa bersama TV AlHijrah untuk mengenali jenama demi jenama dalam katalis halal, serta potensinya untuk bangkit sebagai antara kuasa pembekal utama produk halal sejagat. – MYNEWSHUB.CC