CINTA hingga ke hujung nyawa. Ia dibuktikan oleh seorang suami, Roger Freestone, 67, yang maut selepas dia enggan meninggalkan isterinya yang terlantar sakit di atas katil, ketika rumah mereka sedang terbakar.
Sedangkan pada masa itu, Roger, boleh menyelamatkan dirinya dengan meninggalkan Maureen, 65, namun dia enggan membiarkan isterinya sendirian di rumah mereka di Somersham.
Kebakaran itu berlaku ketika Roger secara tidak sengaja menyebabkan rumah mereka terbakar ketika cuba mengalihkan kotak kertas.
Rumah tersebut dipenuhi dengan kertas dan barang-barang mudah terbakar. Perkara itu didedahkan dalam inkuiri yang dijalankan oleh mahkamah bagi menentukan punca kematian Roger dan isterinya itu.
Maureen yang lumpuh itu, sebelum ini dijaga oleh dua pekerja sukarela namun mereka berjaya menyelamatkan diri dengan keluar melalui tingkap ketika api sedang marakr.
“Dia (Roger) boleh menyelamatkan diri namun dia kembali semula ke dalam rumah dan enggan meninggalkan Maureen. Dia tanpa ragu-ragu mengetahui bahawa isterinya tidak mungkin dapat menyelamatkan dirinya sendiri,” kata koroner, David Heming.
Sementara anak pasangan itu, Raewyn berkata, adalah jelas bahawa bapanya cuba memadamkan kebakaran berkenaan dan cuba menyelamatkan semua orang yang ada di dalam rumah terbabit.
“Nasib baik dua penjaga sukarela itu berjaya melarikan diri, jika tidak kita mungkin terpaksa berdepan dengan empat kematian,” katanya.
Kematian Roger berpunca akibat keracunan karbon monoksida dan disahkan meninggal dunia pada 9.25 malam manakala Maureen meninggal dunia akibat terhidup asap serta keracunan karbon monoksida. – Mynewshub.cc