KUALA LUMPUR – Seorang pengurus bengkel dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi kesalahan cuba memasuki Syria untuk melakukan keganasan di negara itu.
Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas tertuduh Azmi Mohd Asari, 28, mengaku bersalah atas pertuduhan dengan niat untuk pergi ke Syria dan dalam percubaan itu dia telah pergi ke Turki melalui Gaziantep, bagi maksud melakukan perbuatan keganasan di Syria.
Tertuduh yang berkelulusan diploma itu diperintah menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 18 Mei 2016.
Azman sebelum menjatuhi hukuman itu berkata rakyat Malaysia perlu sentiasa menghargai keamanan negara ini serta tidak sewenangnya mudah bersimpati dengan pengganas di Syria dan menyertai kumpulan itu sehingga mengancam negara dan diri sendiri.
“Jangan anggap keamanan itu suatu yang mudah untuk diperolehi. Orang luar yang hidup dalam dunia yang bergolak kalau diberi peluang untuk duduk di Malaysia, mereka akan berebut-rebut datang,” katanya.
Azman juga mengingatkan Azmi agar bersyukur apabila niatnya untuk ke Syria tidak kesampaian kerana tertuduh masih mempunyai keluarga dan isteri yang baru dikahwininya dua bulan sebelum ditangkap.
“Mahkamah percaya jika niat tertuduh tidak mempunyai rintangan, tertuduh akan berada di Syria dengan niat berjuang untuk kumpulan keganasan ini. Hukuman ini bukan sahaja untuk menghukum tapi lebih untuk beri ingatan dan rasa takut kepada masyarakat luar supaya jangan sesekali memberi simpati dan menyokong kumpulan keganasan,” katanya.
Azmi didakwa melakukan kesalahan itu dengan menaiki pesawat Turkish Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, di sini pada 9.20 malam, 19 Julai 2015 mengikut Seksyen 130JA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda.
Ketika rayuan, tertuduh yang diwakili peguam Farida Mohammad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana itu kesalahan pertamanya dan dia juga telah insaf dan tidak akan terjebak lagi.
Anggota keluarga Azmi yang berada di galeri awam dilihat menangis teresak-esak manakala tertuduh hanya menundukkan kepalanya.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat bagi memberi pengajaran dengan mengambil kira perbuatan tertuduh yang serius apabila cuba memasuki Syria dan menyertai kumpulan pengganas.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah cuba memasuki Syria melalui Turki namun dia telah ditahan pihak berkuasa Turki serta diusir pulang ke Malaysia dan selepas pulang dia memaklumkan keluarga dan rakannya bahawa tujuan dia ke Syria adalah untuk menyertai perjuangan kumpulan keganasan. – BERNAMA