KUALA LUMPUR – Masalah kewangan yang dilihat sering melanda persatuan bola sepak di Malaysia adalah disebabkan sikap pengurusan persatuan yang tidak realistik dalam menguruskan kewangan.
Berikutan masalah itu, ia bukan sahaja boleh merosakkan imej Liga Malaysia (Liga-M) malah menjejaskan masa depan liga itu, kata bekas pemain tengah negara era 70-an dan 80-an, Khalid Ali, yang turut menegur sikap segelintir pasukan yang berbelanja melebihi kemampuan kewangan mereka terutama apabila melibatkan pembelian dan pembayaran gaji pemain.
Khalid berkata kebanyakan pasukan sanggup berbelanja di luar kemampuan semata-mata untuk mendapatkan pemain, serta menuntut gaji yang tinggi, sedangkan masih ramai pemain bola sepak di negara ini yang berkebolehan untuk beraksi di tahap Liga-M.
“Persatuan perlu berfikir secara realistik dan sepatutnya melihat kemampuan sendiri, jangan terlalu berlumba-lumba dalam mendapatkan pemain sehingga terpaksa menanggung beban di kemudian hari.
“Lihat poket sendiri terlebih dahulu sebelum membuat perancangan bagi mendapatkan pemain yang dikehendaki dan berhenti daripada menunjuk-nunjuk sekiranya tidak mampu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau juga menyifatkan tindakan segelintir pasukan yang mengugut untuk menarik diri daripada saingan Liga-M, rentetan kegagalan mendapatkan dana bagi menampung kos persiapan musim depan akan menyebabkan sukan bola sepak di Malaysia tidak membangun.
“Sikap mereka itu dilihat seperti seorang peminta sedekah dan ia bukannya cara yang baik dalam usaha kita untuk membangunkan sukan bola sepak di Malaysia,” kata Khalid.
Dalam pada itu, Khalid turut menyarankan agar semua persatuan menjadikan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) contoh terbaik pasukan yang bijak dalam menjana dan menguruskan kewangan.
“Tidak salah sekiranya mereka (persatuan) belajar daripada cara JDT yang lebih kreatif dalam usaha mereka menjana dana dan kemudian menguruskannya dengan baik kerana setidak-tidaknya ia dapat membuka mata mereka tentang cara pengurusan kewangan.
“JDT juga mungkin boleh menganjurkan program atau seminar khas buat pasukan yang berminat mempelajari cara-cara untuk menjana dana dan pengurusannya,” katanya. – BERNAMA