KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan sejumlah RM350 juta bagi membina dan membaik pulih Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bermula tahun depan.
Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebanyak 2,100 unit rumah PPRT akan dibina manakala sebanyak 12,500 unit rumah sedia ada diletakkan di bawah projek membaik pulih.
Menurutnya, KKLW juga memberi keutamaan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk terlibat dalam program membaik pulih rumah berkenaan, sekali gus membantu kampung itu mendapat manfaat daripada peruntukan yang diberikan.
“Kabinet pun setuju untuk kementerian mengutamakan JKKK bagi membaiki rumah seperti baiki atap, kerja-kerja mudah, dan tidak perlu untuk kita melantik kontraktor dalam projek itu (baik pulih),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Negara hari ini.
Sementara itu, sejumlah RM200 juta pula diperuntukkan bagi Projek Rumah Bina Negara yang dilaksanakan oleh Felcra Berhad dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bagi membantu golongan belia luar bandar memiliki rumah sendiri.
“Pembinaan 7,000 unit rumah tersebut hanya akan dikhaskan untuk golongan belia sahaja dan bukannya untuk dibeli sebagai pelaburan.
Kita bina rumah itu untuk belia luar bandar dan kita tidak akan jual untuk dijadikan sebagai satu pelaburan atau untuk disewa,” katanya. – BERNAMA