MELAKA – Belum selesai kes kemalangan yang mengorbankan 14 nyawa di Pagoh, Johor Bharu, kini satu lagi kemalangan berlaku di Kilometer 193.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh, Melaka tengah malam tadi yang turut membabitkan perkhidmatan bas ekspress.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, bas yang dalam perjalanan dari Johor menghala ke Kuala Lumpur terbabas selepas cuba mengelak sebuah treler dihadapannya.
Seramai 24 penumpang dilaporkan terselamat selepas pemandu bas yang berusia 30-an itu berjaya mengawal kenderaan walaupun terbabas.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari PBK II Abdul Razak Taat berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 12.19 tengan malam dan bergegas ke tempat kejadian.
Menurutnya, semua penumpang sudah dibawa keluar dan dipindahkan ke bas gantian serta tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Hanya pemandu bas cedera di bahagian kaki dan diberi rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Insiden ngeri pada 24 Disember lalu mengorbankan 14 nyawa termasuk pemandu dan seorang kanak-kanak manakala 16 penumpang cedera selepas bas ekspress tersebut terjunam ke dalam cerun sedalam 10 meter di Kilometer 137.3, Lebuhraya Utara Selatan arah utara berdekatan kawasan Rehat dan Rawat Pagoh.
Kes tersebut masih dalam siasatan dan mencetuskan satu suasana sedih di kalangan keluarga mangsa yang terlibat.-MYNEWSHUB.CC