ANKARA – Seramai 13 askar maut dan 55 lagi cedera selepas sebuah bom kereta meletup di sebelah bas yang dinaiki mereka di bandar Kayseri, tengah Turki semalam.
Kejadian itu berlaku satu minggu selepas serangan bom berkembar di Istanbul yang didakwa dilakukan militan Kurdis menyebabkan 44 anggota keselamatan maut dan lebih 150 lagi cedera.
Timbalan Perdana Menteri Turki, Veysi Kaynak berkata, serangan itu sama seperti serangan bom berkembar di luar sebuah stadium kelab bola sepak Besiktas di Istanbul.
“Cara serangan terbaru itu sama seperti serangan di Besiktas,” katanya kepada wartawan.
Tentera mengesahkan 13 askarnya terbunuh dan 55 lagi termasuk orang awam cedera dalam serangan itu.
“Semua mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” ujarnya.
Stesen televisyen NTV melaporkan, bas yang membawa askar itu berhenti di lampu isyarat berhampiran Universiti Erciyes di Kayseri.
Sebuah kereta tiba-tiba menghampiri bas berkenaan sebelum ia meletup.
Militan Kurdis dari Parti Pekerja Kurdis sebelum ini serang menyasarkan kenderaan termasuk bas yang membawa anggota keselamatan. – Reuters/myMetro Online