KUALA LUMPUR – Pertubuhan Serantau Muslim memohon maaf kepada keluarga Tan Sri SM Salim, 88, kerana mengucapkan takziah diatas pemergian biduan negara tersebut tengah hari tadi akibat tersilap maklumat.
Setiausahanya, Mohd. Hakim Mohd. Nor berkata, SM Salim atau nama sebenarnya Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros sebenarnya masih dalam keadaan nazak.
“Kami memohon maaf atas maklumat yang dimaklumkan sebentar tadi. Semoga Allah memberikan kesihatan dan kekuatan buat Tan Sri dan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan ralat beberapa jam kemudian.
Organisasi media tengah hari ini menerima satu kenyataan daripada Serantau Muslim mengucapkan takziah buat keluarga SM Salim kerana didakwa telah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 88 tahun sebentar tadi.
Kenyataan menggunakan nama Pengerusinya yang juga pemimpin PAS, Dr. Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob antara lain menyebut semoga Allah mencucuri rohnya dan mengurniakan kesabaran buat keluarganya.
Media semalam melaporkan, biduan negara itu kini berada dalam keadaan nazak akibat sakit tua.
Anaknya, Shamsul Salim, 51, dipetik berkata, ayahnya menunjukkan kesukaran bernafas kira-kira pukul 10 malam Selasa dan diberi alat bantuan pernafasan sehingga pukul 4 petang Rabu.
“Alat bantuan pernafasan sudah dibuka pada pukul 4 petang tadi (Rabu) dan ayah boleh bernafas macam biasa namun dia tidak sedar diri dan dalam keadaan tenat.
“Semua ahli keluarga sudah dimaklumkan mengenai hal ini,” kata Shamsul semalam. – mynewshub.cc