KEMAMAN – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengadakan lebih banyak acara berkaitan pertanian di lokasi Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) yang terletak di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) tahun depan.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata langkah itu dilaksanakan selepas mengambil kira kejayaan MAHA 2016 yang berjaya mencatat kehadiran 3.7 juta pengunjung dalam tempoh dua minggu acara itu dianjurkan.
“Penganjuran MAHA 2016 bukan sahaja menunjukkan orang ramai semakin berminat dalam bidang pertanian malah kejayaannya boleh dilihat dalam pelbagai sudut iaitu dari segi pendidikan dan pelancongan.
“Ada keluarga yang menjadikan acara MAHA satu tempat percutian buat keluarga mereka. Justeru kami telah berbincang dan maklumkan kepada Kabinet satu pelan induk baharu akan dibuat agar diperbanyakkan acara berkaitan pertanian di tapak MAHA itu khususnya pada musim cuti sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis jamuan rakyat dan kenduri kesyukuran sempena kejayaan Pak Sabri Duta Madu Kelulut di pekarangan Masjid Bukit Kuang, di sini hari ini.
Ahmad Shabery menarik perhatian bahawa menerusi MAHA 2016 juga kementerian dapat mengesan perkembangan positif industri hiliran yang berasaskan produk-produk pertanian hingga usahawan tani berjaya mengeksport produk mereka ke pasaran antarabangsa.
“Kami lihat industri hiliran semakin maju ke depan dengan cara pembungkusan yang lebih moden. Insya-Allah kami akan kembangkan lagi dalam usaha memastikan lebih ramai usahawan dapat memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa kerana menerusi eksport kita dapat meningkatkan pendapatan negara dan mengukuhkan mata wang kita,” katanya.
Mengulas acara itu yang dikatakan berjaya menarik ramai golongan muda untuk menjadi petani moden, beliau berkata generasi muda kini sudah mula melihat pertanian adalah satu bidang yang mampu menjana pendapatan tinggi dan bukan lagi satu bidang ‘kampungan’.
“Mereka kini memandang bidang pertanian dapat memberi masa depan yang cerah dan sesuatu yang menarik. Dari segi kementerian, kami ada pelbagai program bagi membantu golongan muda untuk menjadi usahawan tani ini untuk berjaya dalam bidang ini seperti Agropreneur Muda dan ‘Agro Trooper’.
“Menerusi program tersebut mereka dapat membangunkan produk-produk yang lebih bersifat inovatif, berkualiti serta menawarkan harga pasaran yang lebih kompetitif,” katanya. – BERNAMA