KOTA BHARU – Polis Kelantan menahan seorang lelaki kerana disyaki memperdaya kira-kira 50 mangsa membabitkan kerugian berjumlah RM515,000 melalui skim cepat kaya yang diperkenalkannya sejak awal tahun lepas.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Ab Rahman Ismail berkata suspek berumur 36 tahun itu ditahan di Kuala Krai semalam, selepas satu laporan polis dibuat oleh seorang mangsa yang juga seorang guru.
“Siasatan awal mendapati suspek menubuhkan satu skim pelaburan dengan menjadikan guru berkenaan sebagai rakan kongsi dengan nilai pelaburan pertama sebanyak RM15,500 seorang. Dengan jumlah itu guru tersebut dijangka akan memperoleh untung sebanyak RM3,000 sebulan dalam tempoh lima tahun.
Guru berkenaan juga dijanjikan komisyen sebanyak RM500 bagi setiap seorang pelabur baharu dan beliau telah berjaya mengumpulkan kira-kira 50 orang pelabur sehingga bulan ini,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kelantan di sini, hari ini.
Ab Rahman berkata bagaimanapun guru tersebut mulai curiga selepas tidak memperoleh sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan selepas hampir dua tahun melakukan pelaburan, lalu bertindak membuat laporan polis.
Katanya suspek direman tiga hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Suspek menggunakan modus operandi kononnya pelaburan tersebut untuk operasi sebuah syarikat sejuk beku di Pengkalan Chepa. Namun siasatan mendapati ianya tidak benar,” katanya.
Suspek dari Kampung Pasir Jelatang, Kubang Kerian didakwa hidup mewah, katanya.
Ab Rahman berkata orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dengan pelbagai tawaran skim atau pelaburan cepat kaya bagi mengelak daripada ditipu. – BERNAMA