Lelaki ini, Mark Lancaster, umpama bom jangka. Dia yang merupakan pemabuk dan penagih dadah telah bertindak kejam ke atas kekasihnya dengan mematahkan gigi wanita berkenaan sebelum membogelkannya dan menuang gam gajah ke dalam kerongkong mangsa.
Dia turut membaling gelas kaca dan mengheret wanita berusia 46 tahun itu ke serata rumah dalam serangan yang berlarutan selama beberapa jam.
Wanita itu cuba melindungi dirinya dengan bersembunyi di dalam bilik air namun Mark telah menendang pintu bilik air terbabit dan meneruskan serangannya.
Dia akhirnya menerima balasan apabila dipenjarakan selama 16 bulan selepas mengaku salah mencederakan wanita terbabit.
Ketika hukuman dijatuhkan, hakim Recorder Smith menyifatkan lelaki tersebut sebagai hilang kawalan diri sepenuhnya.
“Kau tarik seluar dalam mangsa dan membiarkannya bogel. Kau terus menyerangnya dan mengheretnya ke seluruh rumah,’’ katanya.
Mengikut fakta kes, pada malam kejadian, Mark dan kekasihnya baru balik ke rumah mereka di Newcastle dan wanita itu menyalin baju untuk tidur sebelum serangan berlaku.
Pada satu masa, Mark berjaya mengawal diri dan meminta maaf kepada kekasihnya. Jiran-jiran yang mendengar jeritan mangsa telah menghubungi polis. – mynewshub.cc