KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengaku bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak demi rakyat bukan satu rasuah seperti didakwa Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau dipercayai terpaksa membuat kenyataan itu bagi mengelak parti pembangkang lain turut dikecam rakyat disebabkan keculaparan dan sikap melampau Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam memburuk-burukkan kerajaan.
Mahfuz bagaimanapun cuba berdolak dalik dalam membuat pengakuan itu dengan membuat dakwaan kononnya setiap rakyat Malaysia yang menerima BR1M telah diminta supaya berterima kasih kepada kerajaan.
“Saya setuju yang BR1M bukan rasuah tapi penerima kena datang ambil di pejabat UMNO dan tadah telinga dan jangan sokong pembangkang,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tuduhan beliau itu tidak berasas kerana umum mengetahui bahawa permohonan BR1M sama ada menggunakan borang atau secara dalam talian dan wang akan dimasukkan ke dalam akaun bank.
Mahfuz dalam kenyataan itu juga kelihatan memperlekehkan rakyat yang menerima bantuan kerajaan itu dengan mendakwa BR1M umpama menghamburkan duit syiling-syiling ke jalan yang sesak.
Mahathir yang kini bersengkongkol dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini membuat dakwaan kononnya perbuatan menerima BR1M merupakan satu kesalahan disisi agama dan undang-undang kerana ia satu rasuah. -MYNEWSHUB.CC