SEPANG – Segala usaha gigih dan latihan selama tujuh bulan ternyata membuahkan hasil apabila Team Malaysia yang dianggotai lima remaja lelaki menjuarai Piala Dunia Calisthenics 2016 di Bahrain.
Team Malaysia itu yang dianggotai dua adik beradik Zulhilmi Nadzeri, 25, dan Zulfadli Nadzeri, 20, serta Shahrul Aizat Jasri, 20, Sheikh Amirul Adli Sheikh Gadaffi, 18, dan Engku Mohamad Ikhwan Engku Shamsul, 18, berjaya menewaskan 10 pasukan seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Mexico, Sepanyol dan Rusia.
Calisthenics atau senaman jalanan merupakan satu aktiviti fizikal yang seringkali dijalankan di gimnasium dan di kawasan terbuka seperti di taman rekreasi sejak Julai 2013.
Minat yang mendalam dan hasrat untuk menyertai kejohanan berprestij itu mendorong Zulhilmi dan adiknya yang menduduki ranking ke-11 dunia pada tahun lepas, untuk menubuhkan Team Malaysia kira-kira tujuh bulan lalu.
“Kami menjalani latihan empat hingga lima jam setiap hari,” kata Zulhilmi kepada kepada Bernama ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Beliau berkata mereka menjalani pelbagai latihan seperti joging, ‘skipping’, ‘planche’, ‘handstand’ dan pelbagai latihan pergerakan di atas palang bagi membina kekuatan otot.
“Kami juga berhubung melalui media sosial untuk membincangkan, merancang dan menyusun pelbagai pergerakan bagi kejohanan ini,” katanya, sambil menambah usaha gigih Team Malaysia itu membuahkan hasil apabila berjaya menewaskan Sepanyol yang merupakan juara 2015 pada perlawanan akhir pertandingan itu.
Pasukan itu membawa pulang wang tunai USD10,000 dan piala. Selain itu, mereka secara automatik akan mewakili Malaysia dan menyertai kejohanan itu pada tahun depan.
Ini kali pertama Malaysia menghantar wakil menyertai kejohanan yang diadakan pada 2 hingga 3 Dis lepas.
Zulhilmi yang mula menceburi senaman jalanan itu sejak Julai 2013 berkata Team Malaysia akan meneruskan latihan dan membuat persediaan awal bagi kejohanan tahun depan.
“Kami mahu melakukan terbaik untuk mengharumkan nama Malaysia,” katanya. – BERNAMA