PUTRAJAYA – Malaysia dan Singapura komited untuk terus memenuhi obligasi mereka mengikut undang-undang antarabangsa berhubung kerja tebus guna tanah di Selat Johor.
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia dan Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura dalam kenyataan bersama, berkata adalah penting bagi kedua-dua negara memenuhi obligasi mereka khususnya Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 untuk mengelakkan potensi impak rentas sempadan yang teruk.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan hari ini bersempena dengan Pertukaran Lawatan Tahunan Malaysia-Singapura (AEV) kali ke-29 di sini, dengan Malaysia diwakili Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar manakala Singapura diwakili Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air, Masagos Zulkifli.
Menurut kenyataan itu, Malaysia dan Singapura memperteguh komitmen mereka di bawah Perjanjian Penyelesaian bagi pertukaran maklumat dan membincangkan perkara yang menjejaskan alam sekitar masing-masing di Selat Johor, termasuk kerja tebus guna tanah yang mungkin berpotensi mengakibatkan impak rentas sempadan yang teruk.
“Untuk itu, menteri berkenaan menyambut baik penubuhan pasukan petugas khas bersama untuk membincangkan isu berkaitan dapatan kajian kedalaman laut di Danga Bay,” katanya.
Berhubung usaha sama dalam bidang pencegahan dan kawalan tumpahan minyak di Selat Johor, menurut kenyataan itu, Malaysia dan Singapura bersetuju untuk terus bekerjasama dalam perkongsian maklumat dan pengalaman.
“Malaysia dan Singapura akan bekerjasama dalam pembinaan kapasiti bagi pencegahan dan kawalan pencemaran minyak akibat insiden daripada aktiviti pemindahan dari kapal ke kapal serta langkah-langkah terhadap perbuatan tidak sengaja atau pelupusan minyak dan sisa minyak secara haram ke Selat Johor,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Malaysia dan Singapura akan menjalankan latihan bersama bagi tumpahan kimia di Jambatan Kedua Malaysia-Singapura pada September tahun depan dengan dihoskan Malaysia.
“Latihan secara tetap terus menjadi platform baik bagi kedua-dua negara untuk menguji dan menambah baik pelan respons sedia ada mereka untuk menangani insiden melibatkan kimia berbahaya,” menurutnya.
Menurut kenyataan bersama itu, kedua-dua negara juga memperteguh komitmen mereka untuk meningkatkan lagi kerjasama dalam perkara berkaitan alam sekitar seperti kawalan pelepasan asap kenderaan dan pemantauan bersama terhadap kualiti air di Selat Johor.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua menteri juga mengambil perhatian bahawa kedua-dua negara telah mencatatkan kejayaan membanggakan dalam tahun-tahun kebelakangan ini dalam usaha menangani pencemaran asap kenderaan dan akan terus berkongsi pengalaman dan strategi dalam mengawal asap kenderaan seperti memperketat standard asap dan meningkatkan penguatkuasaan terhadap kenderaan yang mengeluarkan banyak asap.
“Kedua-dua menteri juga mengakui pentingnya penekanan diberikan terhadap perlindungan alam sekitar marin oleh kedua-dua negara dan menegaskan perlunya meningkatkan kualiti air di Selat Johor,” menurutnya.
Pada sidang media bersama, Wan Junaidi berkata Malaysia dan Singapura ialah ‘jiran baik’ dan hubungan dua hala yang erat telah membolehkan perkara berkaitan alam sekitar diselesaikan secara baik.
“Kami telah menyelesaikan kira-kira 90 peratus daripadanya dan 10 peratus lagi perlu diteliti, khususnya di Selat Johor,” katanya.
Masagos pula berkata Singapura dan Malaysia telah menjalin ‘kerjasama cemerlang’ dan mencatatkan kemajuan membanggakan dalam penyelesaian isu berkaitan alam sekitar, secara paling efektif dan objektif.
“Kerjasama telah membantu kami menangani isu-isu yang menjejaskan kami termasuk jerebu rentas sempadan di rantau ini.
“Kami mengalu-alukan langkah menerima pakai Pelan Kerjasama ASEAN bagi visi ASEAN bebas jerebu rentas sempadan menjelang 2020,” katanya. – BERNAMA