“DIA (kerajaan Myanmar) gertak saya. Dia beri amaran kepada saya. Saya tak peduli. Saya hadir atas nama ummah dan rakyat Malaysia seluruhnya. Allahukbar!
Itu ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berikutan kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Presiden Myanmar, U Zaw Htay yang memberi peringatan kepada Malaysia supaya tidak campur tangan dalam hal ehwal negara itu.
Berucap dalam himpunan yang diadakan di stadium Mini Titiwangsa di ibu negara itu, Najib berkata Malaysia tidak berhasrat campur tangan dalam urusan Myanmar, sebaliknya mengingatkan negara itu mengenai piagam Asean yang menekankan hak asasi manusia.
Menurutnya, Malaysia tidak akan ‘buta’ terhadap isu-isu penindasan yang telah sekian lama berlaku keatas etnik minoriti Muslim Rohingnya.
“Bukan kita nak campur tangan. Tidak. Kita mahu tegaskan Asean mempertahankan hak asasi manusia.
“Tahun lepas kita isytihar ASEAN sebagai satu komuniti. Bila berlaku kezaliman, orang dibunuh, dibakar hidup-hidup, dipukul, diusir tak boleh bekerja, apakah ini bukan penentangan hak asasi manusia?
“Apa nak mereka (kerajaan Myanmar) saya buat? Nak minta saya tutup mata? Nak saya bisu? Tapi saya tak akan tutup mata dan bisu. Sebab Rohingya ini mesti kita bela.
“Mereka juga adalah manusia. Kita mesti berjuang habis-habisan. Allahuakbar,” katanya hari ini dihadapan hadirin yang majoritinya adalah pemimpin dan ahli UMNO serta PAS, dan sebahagian pelajar tahfiz.
Najib menambah, isyarat sama diberi kepada menteri luar Myanmar, Aung San Suu Kyi yang pernah menerima anugerah nobel keamanan, yang mana Malaysia cukup tegas dalam isu ini.
“Kita nak beri isyarat kepada kerajaan Myanmar. Kita nak beritahu kepada Aung San Suu Kyi. Enough is enough (hentikan),” katanya.
Dalam pada itu, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) juga diseru agar mula bertindak dan tidak hanya menjadi pemerhati dikala terdapat rakyat yang tidak berdaya ditindas.
Hadir sama dalam himpunan yang melibatkan kerjasama 21 badan bukan kerajaan (NGO) itu adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta pimpinan UMNO dan PAS.
Kelmarin, kerajaan Myanmar memberi amaran kepada Najib agar tidak menyertai Himpunan Solidariti Ummah bagi mengutuk tindakan mereka ke atas warga Rohingya. – MYNEWSHUB.CC