MARANG – Tengah hari semalam, Megat Najmi Asyraf Megat Mohd Nezan, 12, meminta ibu bapanya membawanya ke Lagoon di Kuala Ibai untuk melihat pantai.
“Dia ada meminta suami saya (Megat Mohd Nezan Megat Ahmad, 36) pergi ke Lagoon untuk melihat air. Namun bapanya hanya lalu di kawasan berhampiran sahaja.
“Isnin lalu pula, kami tiga beranak bercuti di Kota Bharu. Di sepanjang perjalanan, jika dia terlihat lopak air, anak saya akan tunjuknya sambil berkata kawasan itu sering dinaiki air.
“Kami ingat arwah sekadar bergurau,” kata ibu kanak-kanak tersebut Nordiana Botok, 34.
Namun itulah antara gurauan terakhir murid Tahun Enam ini sebelum dia lemas di Sungai Buaya yang terletak di belakang Sekolah Kebangsaan Bukit Payong di sini petang semalam.
Mayatnya ditemukan kira-kira pukul 8.21 pagi tadi.
Megat Najmi Asyraf, murid Sekolah Kebangsaan Gelugor dipercayai tergelincir ke dalam sungai di kampungnya kira-kira 6.45 petang semalam ketika menyaksikan kawan-kawannya sedang mandi sungai.
Nordiana berkata kira-kira pukul 6.15 petang semalam anak tunggalnya itu pulang ke rumah sekejap dari rumah kawannya dan sejurus selepas itu dia keluar semula tanpa memberitahu hala tujunya.
Beliau berkata namun kira-kira pukul 7 malam, orang kampung datang memberitahunya anaknya telah lemas di dalam sungai.
“Sebelum ini kami selalu melarangnya bermain di sungai dan biasanya dia hanya naik basikal keliling kampung. Kami jadi terkejut selepas mendapat tahu dia jatuh ke dalam sungai dan kami berlari ke sungai dan melihat hanya basikal dia terletak berhampiran sungai,” katanya kepada pemberita di Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah hari ini untuk menuntut mayat anaknya.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapi, Suriati Ariffin berkata anggota bomba menemukan mayat kanak-kanak itu pada jarak 200 meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas. – BERNAMA