NEW YORK – Dua beradik maut selepas mengalami kesan melecur wap di pangsapuri mereka di bandaraya New York dengan penyiasat menyiasat kemungkinan ia disebabkan radiator yang tidak berfungsi.
Apabila pasukan bomba tiba di bangunan berkenaan, yang menempatkan beberapa keluarga gelandangan, mereka ditemui di lobi oleh bapa mangsa dengan kedua-dua kanak-kanak itu, yang tidak sedarkan diri, kata jurucakap Jabatan Bomba New York, Jim Long.
Anggota bomba segera melakukan pernafasan mulut ke mulut terhadap kedua-dua beradik itu dan membawa mereka ke ambulans.
“Saya nampak anggota bomba mengangkat mereka keluar. Mereka tidak kelihatan seperti masih hidup,” kata jiran mangsa, Eddie Perez, 68, kepada Daily News.
Mangsa, dikenali sebagai Scylee Vayoh Ambrose, setahun dan kakaknya, dua tahun, dibawa ke hospital dan diisytiharkan mati pada petang Rabu.
Pemeriksa kesihatan akan menentukan punca kematian mereka.
Bagaimanapun, pegawai bomba berkata kedua-dua beradik itu mengalami kesan lecur serius yang kelihatan berpunca daripada kebocoran wap daripada radiator yang tidak berfungsi.
“Ia nampaknya akibat kegagalan radiator,” kata Long.
Seorang jiran memberitahu WABC-TV beliau mendengar seorang wanita menjerit dan melihat wap muncul daripada pintu yang tertutup.
“Kami amat sedih dengan tragedi ini.
“Kami sedang menyiasat dan mengambil langkah segera memindahkan empat keluarga lagi yang berada di situ ke tempat perlindungan lain,” kata Pesuruhjaya Jabatan Perkhidmatan Sosial, Steven Banks. – AP/BH ONLINE