HULU TERENGGANU – Selimut tebal Toto yang sepatutnya menjadi hadiah perkahwinan seorang anggota keluarga, akhirnya menjadi penutup mayat sipembeli yang terlibat dalam kemalangan pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, juruteknik Mohd Hanapi Mohammad, 26, maut selepas kereta Perodua Viva yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh belakang sebuah lori dalam kejadian di kilometer 380 Lebuhraya Panta Timur 2 (LPT2).
Bapanya Mohamad Ismail, 57, berkata selimut Toto itu dibeli anaknya Mohd Hanapi, dua minggu lalu untuk dihadiahkan kepada keluarga besan, yang akan melangsungkan perkahwinan Sabtu ini.
“Kami berhasrat untuk bertolak ke Seremban Sabtu ini dan arwah akan menunggu di Kemaman sebelum meneruskan perjalanan.
“Kakaknya meminta arwah membelikan Toto berkenaan dan sejak itu dia hanya membiarkan Toto itu di dalam keretanya,” katanya ketika ditemui di unit Forensik Hospital Hulu Terengganu, di sini hari ini.
Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kerteh untuk ke tempat kerja.
“Biasanya sebelum ke tempat kerja dia akan berjumpa dan bersalam dengan saya namun hari ini dia tidak berbuat demikian kerana saya menyangka dia sudah terlewat.
“Kira-kira pukul 8 pagi tadi ketika minum bersama rakan-rakan, pekerja trak tunda menelefon bagi memaklumkan insiden itu, pada mulanya saya tidak percaya kemalangan itu membabitkan anak saya,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian. – BERNAMA