KOTA BHARU – Mayat seorang lelaki ditemui di bawah jambatan Sungai Kelantan di Kampung Tendong, Pasir Mas di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Baharom Abu berkata mayat lelaki tersebut ditemui terapung bersama timbunan kayu dan sampah oleh seorang pengayuh basikal yang kebetulan melalui jambatan itu.
“Polis menerima panggilan pukul 9.30 pagi mengenai penemuan mayat yang hampir reput itu, yang dipercayai meninggal dunia lebih daripada tiga hari lepas,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata mayat berkenaan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini untuk bedah siasat dan setakat ini, polis tidak menerima laporan mengenai orang hilang daripada mana-mana pihak.
Sementara itu, pengayuh basikal, Mohd Erman Abdullah, 25, berkata dia melihat mayat terbabit selepas berhenti untuk mengambil gambar Swafoto di atas jambatan berkenaan.
Dia kemudiannya menghubungi polis untuk memaklumkan penemuan mayat tersebut. – BERNAMA