MAJLIS Belia Selangor (MBS) dalam kenyataannya menerusi Pengerusi MBS, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim yang juga merangkap Ahli Parlimen Kuala Selangor, menyatakan pihak mereka mengikuti rapat perkembangan terkini, berkenaan pembantaian dan pembunuhan rakyat Syria di Aleppo.
Berikut merupakan kenyataan penuh yang dikeluarkan MBS mengenai isu Aleppo:
Kami mengambil perhatian sangat serius terhadap krisis kemanusiaan dan konflik yang berlarutan sehingga 6 tahun; sehingga mengakibatkan hampir 300,000 orang terbunuh termasuk kanak-kanak dan wanita.
Laporan menyebutkan bahawa lebih 100,000 penduduk Aleppo yang terkepung dalam situasi terbaharu yang meruncing ini. Sekurang-kurangnya 82 orang awam yang tidak berdosa terkorban, sehingga PBB mengklasifikasikannya sebagai bencana kemanusiaan yang kritikal (complete meltdown of humanity).
Majlis Belia Selangor menyeru agar satu pelan tindakan yang komprehensif dapat digerakkan bagi mengembalikan keamanan untuk rakyat Syria.
Kami menggesa supaya bantuan kemanusiaan seperti rawatan kecemasan dan kesihatan, bantuan makanan dan air bersih dapat disampaikan, selain jaminan untuk mereka yang terkepung, agar dapat keluar dengan selamat.
Majlis Belia Selangor mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai dan juga pembantaian berterusan rakyat Syria yang tidak berdosa; yang dilakukan oleh rejim Bashar Al Assad dan sekutunya. Konflik di Syria yang memasuki tahun keenam ini seharusnya dihentikan bagi mengelak lebih ramai mereka yang tidak berdosa terkorban dan merana.
Selain itu, Majlis Belia Selangor juga menggesa segenap lapisan masyarakat agar cakna dan prihatin dengan isu kemanusiaan khususnya di Syria, dengan menyalurkan bantuan kemanusiaan menerusi badan-badan yang sah; di samping menghindar daripada terjebak dengan golongan ekstremis seperti DAESH dan lain-lain khususnya daripada menular ke pemikiran generasi muda Malaysia.
Kami juga akan menjalankan kerjasama dengan NGO seperti Malaysian Life Line for Syria (MLLFS) bagi menjalankan kempen penerangan dan kesedaran krisis kemanusiaan di Syria kepada orang ramai khususnya kelompok belia.
āHashtagā seperti #StandUp4Syria #StandWithAleppo #AleppoIsBurning juga boleh disebarluaskan di media-media sosial, bagi menyuburkan kesedaran dalam kalangan masyarakat terbanyak.
Sesungguhnya, isu kemanusiaan adalah merentas masa, lokasi, latar agama serta perbezaan warna kulit. Justeru, kita semua perlu bersatu hati untuk bersama-sama dalam perjuangan untuk membantu rakyat Syria, sebagai tanda solidariti untuk bersama-sama mengecam kezaliman dan penindasan yang sedang berlaku.
Amatlah diharapkan agar Wisma Putra dapat mengusulkan kepada Majlis Keselamatan PBB bagi menghentikan segala kezaliman yang berlaku. – MYNEWSHUB.CCĀ