SELEPAS mengumumkan tarikh pernikahannya dengan penjaga gol JDT, Mohd Izham Tarmizi, pelakon Mia Ahmad berkongsi pula gambar sekitar menyambut parti bujang atau bachelorette yang diadakan baru-baru ini.
Menerusi laman Instagram milik pelakon drama Hati Perempuan itu, Mia berkongsi beberapa keping gambar dia bersama rakan-rakannya menyambut parti bujang tersebut di sebuah lokasi yang tidak dinyatakan.
Mia telah diraikan rakan-rakannya dalam satu majlis tertutup dan perkongsian itu disambut baik oleh netizen.
Netizen kebanyakannya memuji kecantikan semula jadi Mia serta mengaitkannya dengan seri pengantin yang bakal tiba tidak lama lagi.
Peminatnya turut memberikan komen positif dan turut sama mendoakan kebahagiaan aktres itu bersama jejaka pilihannya.
Majlis akad nikah Mia dengan Izham bakal diadakan di Villa Sentosa, Taiping, Perak pada 13 Januari ini.
Perkenalan mereka bermula apabila jejaka itu sering menegurnya di laman sosial Twitter. – MYNEWSHUB.CC