JELI – Seorang nenek dan dua cucu perempuannya maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 112 Lebuhraya Timur-Barat berhampiran Kampung Batu Melintang Luar di sini semalam.
Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli ASP Ahmad Haizan Abdullah berkata kejadian kira-kira 4.40 petang itu membabitkan Wan Zubaidah Md Zain, 53, serta cucunya, Putri Nur Sofea Mohamad Asriellazuan, 2, dan Putri Nur Syufina Arora, 4.
Beliau berkata Wan Zubaidah dan Putri Nur Sofea meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di kepala dan badan manakala Putri Nur Syufina Aurora meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Jeli sejam kemudian.
“Kejadian itu berlaku selepas motosikal Honda Wave yang dinaiki ketiga-tiga mangsa dirempuh sebuah kereta Honda City yang datang dari arah Grik menghala ke Jeli,” katanya ketika dihubungi di sini.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Nur Asma Amira Zulkefli, 26, berkata anaknya Putri Nur Sofea sempat berpesan kepada bapanya, Mohamad Asriellazuan Ibrahim, 28, yang bekerja sebagai buruh binaan, supaya tidak pergi berkerja semalam.
“Putri Nur Sofea juga menunjukkan kelakuan pelik apabila enggan bercakap, seolah-olah sedang merajuk,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah keluarganya di Kampung Chegar Bedil di sini, hari ini.
Nur Asma Amira berkata mereka sekeluarga tinggal di Kampung Batu Gajah, Tanah Merah dan datang bermalam di rumah mentuanya di Kampung Batu Melintang Luar sempena musim cuti persekolahan.
Beliau berkata kejadian itru berlaku semasa ibu mentuanya membawa kedua-dua anaknya bersiar-siar menaiki motosikal di kawasan sekitar.
“Bagaimanapun, tidak sampai 10 minit kemudian saya dikejutkan dengan berita kemalangan itu yang berlaku kira-kira 500 meter dari rumah mentua saya,” katanya.
“Saya terus ke lokasi kejadian dan mendapati Putri Nur Sofea dan neneknya sudah tidak bernyawa manakala Putri Nur Syufina dibawa ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia sejam kemudian. Saya tidak sangka kehilangan dua anak serentak,” katanya yang mempunyai tiga orang anak.
Beliau berkata ketiga-tiga mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Pasir Dusun pada 11 pagi tadi.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam entri di laman Facebook beliau malam tadi, turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Katanya beliau berada di tempat kejadian sejurus kemalangan itu berlaku dan memjuat naik gambar kemalangan di laman Facebook itu.
Difahamkan, Mustapa yang juga Anggota Parlimen Jeli berada di kawasan berkenaan sempena program lawatan seharinya ke Parlimen itu semalam. – BERNAMA