SUDAH lama tidak muncul dalam mana-mana drama televisyen, tup-tup muncul khabar baharu menyatakan pelakon Norish Karman kini pembaca berita di saluran Bernama News Channel (BNC).
Mengakui hal itu, Norish atau nama sebenarnya, Nor’asikin Karman, 42, memberitahu dia sudah pun berkhidmat dengan saluran penyiaran tersebut sejak beberapa bulan lalu.
Pada masa sama, Norish, menafikan bahawa keputusan itu dibuat konon kerana dia sudah tidak mendapat tawaran sebaliknya memberitahu, menjadi pembaca berita merupakan minatnya.
“Mungkin ramai yang tidak tahu tetapi saya pernah bertugas sebagai pembaca berita ketika berusia 18 tahun di stesen penyiaran Singapura.
“Bidang penyiaran sentiasa berada dekat dihati saya dan kembalinya saya sebagai pembaca berita di BNC bukan kerana kerjaya lakonan sudah malap tetapi kerana minat.
“Saya mahu lakukan sesuatu yang baharu dalam karier saya dan Alhamdulillah BNC membuka peluang kepada saya,” katanya kepada mStar Online.
Jelasnya, dia sendiri yang menghantar resume bagi jawatan tersebut dan tidak tidak menyangka permohonannya itu diterima pihak BNC.
Bercerita mengenai kerjaya seninya, Norish memberitahu, pihak BNC tidak menghalangnya namun perlu menjaga nama baik syarikat.
Dalam perkembangan lain, Norish bakal kembali memasuki set penggambaran sebuah drama 60 episod tidak lama lagi.
Sumber: mStar Online