PERKATAAN ‘Om Telolet Om’ tiba-tiba menjadi topik hangat seluruh dunia hingga berada di carta trending laman Twitter.
Ia juga trending di Google.
Bagi yang tidak tahu apa-apa pasti tertanya-tanya apa di sebalik maksud ayat itu dan mengapa seluruh dunia tidak henti bercakap mengenainya?
Untuk pengetahuan anda, ‘Om Telolet Om’ sebenarnya adalah bahasa Indonesia yang jika secara longgar diterjemahkan ke bahasa Melayu bermaksud ‘pak cik, bunyikan hon pak cik!’.
Om merujuk kepada perkataan pakcik manakala telolet bermaksud bunyi hon bas.
Penggunaan ayat itu dikatakan bermula sejak Selasa lalu, apabila rakyat Indonesia tidak henti-henti bercakap mengenainya di laman sosial selama 12 jam hinggakan mencuri tumpuan beberapa DJ profesional dan pemuzik turut mengulas mengenai ‘telolet’ iaitu bunyi hon bas yang unik itu.
Remaja Indonesia melakukan spam atau komen berulang ayat Om Telolet Om di ruangan komen akaun sosial artis terkenal.
Sebelum perkataan itu menjadi fenomena, difahamkan sebuah video menunjukkan kanak-kanak berdiri di tepi jalan raya sambil berteriak ‘Om Telolet Om!’ pada pemandu bas, telah tersebar menjadi viral di negara itu.
Menerusi video itu, kanak-kanak dilihat bersorak bergembira dan melambai tangan apabila pemandu bas tersebut membunyikan hon mereka.
Lama kelamaan, hiburan mudah itu mula tersebar ke bandar-bandar lain di Indonesia.
Malah, terdapat juga video-video memaparkan orang dewasa turut meminta ‘telolet’ dari pemandu bas.
Bunyi ‘telolet’ itu dikatakan seolah-olah menjadi hiburan yang dapat menceriakan hari mereka.
Melihat video itu, ramai netizen menyifatkan tidak perlukan wang yang banyak untuk bergembira, seperti mendengar bunyi hon bas.
Sementara itu, laman sesawang hiburan, Billboard menyifatkan bunyi hon itu mungkin akan menjadi tema dalam tarian masa depan.
Paling kelakar, perkataan ‘Om Telolet Om’ turut membanjiri ruangan komen laman sosial milik Presiden Amerika Syarikat yang ke-45, Donald Trump.
Difahamkan, tindakan itu dibuat oleh netizen yang tidak menyokong beliau. – MYNEWSHUB.CC