KUALA LUMPUR – PAS tidak seperti Parti Amanah Negara (PAN) yang mahu menyempurnakan syariat Islam secara berperingkat-peringkat di negara ini.
Pengarah Pendidikan Politik PAN, Hasbie Muda berkata, PAS juga tidak seperti PAN yang akan menyempurnakan pelaksanaan syariat Islam secara menyeluruh.
Kata beliau, situasi itu merupakan perbezaan diantara kedua-dua parti Islam tersebut daripada sudut keutamaan.
“Melaksanakan Hudud adalah tuntutan Islam manakala menegakkan urus tadbir yang adil, bersih dan bebas dari penyelewengan juga tuntutan Islam.
“PAS memilih untuk mengutamakan Hudud,” sindirnya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasbie berkata, PAS berbeza dengan PAN kerana PAN memilih untuk mengutamakan islah dengan berusaha mengalahkan UMNO.
PAN ditubuhkan oleh beberapa bekas pemimpin PAS tetapi pro Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu terus berada dalam pakatan pembangkang.
Mereka menubuhkan PAN kononnya bagi menggantikan PAS sebagai parti Islam yang diketepikan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kerana enggan tunduk dalam beberapa isu akidah Islam. – MYNEWSHUB.CC