KUALA NERUS – Seorang pelajar tingkatan satu ditemui lemas manakala seorang lagi masih hilang selepas mandi di Pantai Seberang Takir, di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba Kuala Terengganu Che Shaari Abdullah berkata kedua-dua mangsa telah mandi di pantai tersebut bersama dua lagi rakan mereka petang tadi.
Katanya mayat Mohd Mujahid Mohd Zuni, dari Seberang Takir, ditemui pasukan penyelam kira-kira pukul 6.00 petang.
Seorang lagi yang dikhuatiri lemas ialah Ahmad Baihaqi Nor Shariman.
“Mayat Mohd Mujahid ditemui di tepi pantai tidak jauh dari tempat mereka mandi iaitu kira-kira 10 meter sahaja,” katanya dalam sidang media di sini malam ini.
Menurut Che Shaari, operasi mencari mangsa melibatkan kekuatan 26 anggota termasuk tujuh orang daripada pasukan skuba, seramai enam anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan sembilan anggota polis.
Tambahnya, operasi akan diteruskan sehingga lewat malam bergantung kepada keadaan cuaca.
Susulan kejadian tersebut beliau menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan keadaan ombak besar dan cuaca tidak menentu sekarang. – BERNAMA