PERKONGSIAN seorang pengguna Grab Car yang terkejut apabila menyedari pemandunya adalah pelakon terkenal sekitar tahun 1990-an telah menjadi viral di media sosial.
Menerusi laman Facebook, Mike Manicka berkongsi gambarnya bersama pelakon filem Leftenan Adnan, Hairie Othman ketika menggunakan perkhidmatan tersebut baru-baru ini.
Sebuah portal media melaporkan, Mike sempat bertanyakan sama ada Hairie adalah seorang pelakon dan terkejut apabila lelaki tersebut mengaku yang dia adalah pelakon.
Tulisnya, Hairie hanya tersenyum dan menjawab ‘Ya’.
Mike berkata, dia hanya menyedari pelakon yang popular menerusi filem Kad Cinta itu ketika hampir di destinasinya.
“Selepas saya memandang ke arahnya dan terdetik di hati saya yang wajahnya seperti pernah saya lihat. Dan selepas itu barulah saya beranikan diri bertanya samada dia seorang pelakon,” katanya.
Jelasnya yang teruja dengan kemesraan Hairie yang tidak sombong dan merendah diri ketika bercakap dengannya.
Hairie lebih banyak mendiamkan diri dalam industri seni selepas meninggalkan dunia lakonan lima tahun lalu.
Beliau lebih aktif menghadiri majlis-majlis agama dan kadang-kala dijemput sebagai penceramah motivasi. – MYNEWSHUB.CC