DUNIA seni kehilangan pelakon drama era 1980-an, Zakaria Yusof, 65, yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur, awal pagi semalam.
Pelakon yang terkenal dengan watak antagonis itu meninggal dunia kira-kira jam 6.45 pagi selepas mengadu sakit dada pada sebelah malam Rabu lalu.
Allahyarham Zakaria yang baru pulang daripada menunaikan ibadat umrah Rabu lalu meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan kuman pada paru-paru, buah pinggang dan jantung.
Berita Harian melaporkan, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri, Fatimah Ali; 65, dan empat orang anaknya.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan Islam AU4 Keramat kira-kira jam 2.30 petang.
Sementara itu, menerusi akaun Facebook Persatuan Seniman turut berkongsi gambar sekitar pengembumian Allahyarham.
Seorang pelakon aksi, Yank Kassim turut memuat mengucapkan takziah dia atas pemergian Allahyarham.
“Arwah adalah idola saya dari dulu lagi, penglibatannya dalam bidang lakonan sungguh saya kagumi. Dia adalah pendorong saya menjadi seorang pelakon sehingga hari ini. Alfatihah dan takziah dari saya pada keluarga arwah,” tulisnya. – MYNEWSHUB.CC