KANTOI… Kamera litar tertutup (CCTV) sebuah restoran di Hauppauge, Long Island, New York, Amerika Syarikat berjaya merakam kelibat seorang lelaki menceroboh premis itu di awal pagi.
Media tempatan melaporkan, kejadian pecah masuk itu dikatakan berlaku di restoran The Sexy Salad pada 17 Disember lalu namun rakaman itu baru disebarkan kepada umum.
Menerusi klip yang tersebar itu, individu lelaki tersebut dilihat memasuki dapur restoran dan menghampiri bekas dipenuhi pisang sebelum melahapnya dengan rakus.
Malah suspek juga difahamkan telah membuang air kencing berhampiran tong sampah yang terdapat di situ sebelum tidur di tengah-tengah dapur premis tersebut.
Menurut kenyataan laporan pihak polis tempatan, suspek melarikan diri sebelum premis itu dibuka keesokan harinya namun tercicir lesen memandu dan jamnya di dapur restoran itu.
Pemilik The Sexy Salad, John Robertson memberitahu portal berita stesen ABC 7, suspek memecah masuk restorannya kerana dia dalam keadaan mabuk dan kelaparan.
Bagaimanapun, pihak polis masih menjalankan siasatan dan tiada tangkapan dilakukan berhubung kejadian tersebut. – MYNEWSHUB.CC