KUANTAN – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang semasa memancing bersama dua rakannya di Hutan Simpan Sungai Krau, Bentong ditemui pagi ini setelah berjaya keluar sendiri dari hutan itu pagi ini.
Komander Operasi Kanan Penolong Penguasa Bomba Suhairul Ibrahim berkata mangsa Khairul Azmi Nadri, 34 dari Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam ditemui dalam keadaan lemah dengan kecederaan ringan di kaki 9.25 pagi tadi.
“Mangsa berjalan keluar sendiri dari kawasan hutan ke tempat letak kereta semasa pasukan mencari dan menyelamat hendak memulakan operasi,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Karak untuk mendapatkan rawatan.
Khairul sebelum itu dilaporkan pergi memancing di sebatang sungai di hutan simpan berkenaan bersama dua lagi rakannya dan semasa sedang memancing, mangsa telah mengadu kepenatan dan mahu berehat.
Beliau kemudian ditinggalkan oleh dua rakannya yang bergerak ke lokasi lain untuk memancing, namun semasa hendak pulang pada jam 3 petang semalam, mangsa tidak berada di tempat kejadian.
Mereka kemudian cuba mencari mangsa di kawasan berhampiran namun gagal sebelum bertindak melaporkan perkara itu kepada pihak polis.
Berikutan itu operasi mencari dan menyelamat kemudian dilancarkan 7.40 malam tadi melibatkan 42 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Unit Anjing Pengesan.- BERNAMA