SANDAKAN – Seorang pemandu kereta rentung selepas kenderaan yang dipandunya berlanggar dengan sebuah bas ekspres di Jalan Kem Tentera dekat sini, awal hari ini.
Ketua Bomba dan Penyelamat Sandakan Anddre Andrew berkata akibat pelanggaran itu, mangsa terperangkap di dalam kenderaan itu dan diikuti dengan enjin kereta Proton Saga dan bahagian hadapan bas itu terbakar.
Identiti mangsa masih belum diperoleh disebabkan tidak ada waris mangsa di lokasi kejadian, katanya di sini.
Beliau berkata kes dikendalikan oleh polis dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk bedah siasat.
Anddre berkata pihaknya menghantar sebuah jentera dengan enam anggota ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 6.29 pagi. – BERNAMA