PETALING JAYA – Seorang pemandu teksi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap bekas isterinya.
P. Paramasivam, 39, didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah di bahagian hidung R. Jeganeswari, 34, di Stesen Minyak Petronas Persiaran Surian, Kota Damansara, di sini pada 9 malam, 15 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Khairul Aisamuddin Abdul Rahman tidak menawarkan sebarang jaminan bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dibenarkan jaminan yang rendah atas alasan dia penanggung utama keluarga dan masih menyara empat orang anak.
Majistret Salamiah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Jan untuk sebutan semula kes. – BERNAMA