JOHOR BAHRU – Seorang pembantu tabika melecur di bahagian kepala dalam satu kebakaran di Taman Bimbingan Kanak-kanak Kemas, di Pengkalan Rinting, Tampoi, di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Penolong Kanan Penguasa Bomba Ibrahim Omar berkata dua jentera dan 16 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 3.04 petang.
“Kami tiba di lokasi 10 minit kemudian namun kebakaran pada bahagian dapur itu telah dipadam oleh penduduk di kawasan terbabit,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Menurut Ibrahim, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa, Fatin Farhana Abdullah, 44, cuba menutup api dapur gas tetapi berlaku letupan kecil hingga mencederakan dirinya.
“Ketika kejadian dipercayai tiga orang berada di dalam premis berkenaan,” katanya.
Ibrahim berkata mangsa kemudiannya dibawa oleh orang ramai ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi menerima rawatan.
Menurutnya, pihaknya masih menyiasat punca kebakaran dan nilai kerugian. – BERNAMA