SEBUAH kamera litar tertutup (CCTV) di West 48th Street, Manhattan, New York berjaya merakam aksi pencuri selamba curi satu baldi emas seberat 39 kilogram dari sebuah trak berperisai.
Menurut sebuah laman berita antarabangsa, difahamkan salah seorang pengawal keluar dari trak itu untuk mengambil barang manakala seorang lagi pengawal ke tempat duduk hadapan untuk mengambil telefon bimbitnya.
Ini menyebabkan mereka berdua secara tidak sengaja telah meninggalkan trak keselamatan berkenaan tanpa pengawasan selama 20 saat.
Peluang keemasan itu telah digunakan sebaiknya oleh seorang lelaki untuk mencuri satu baldi mengandungi kepingan emas bernilai AS$1.6 juta (kira-kira RM7 juta) dari trak tersebut.
Menerusi rakaman video kejadian, pencuri itu dilihat melarikan diri sebelum berhenti seketika untuk mengambil nafas. Dia kemudian berjalan lagi beberapa langkah sebelum berhenti rehat sekali lagi.
Jarak pendek yang sepatutnya mengambil masa hanya 10 minit jika berjalan kaki itu terpaksa diharungi selama satu jam kerana baldi yang berat tersebut.
Pada akhir rakaman video CCTV itu, dia dilihat memasuki sebuah van di 48th Street and Third Avenue.
Pihak polis masih menjalankan siasatan dan percaya suspek sedang bersembunyi di Orlando atau Miami bersama-sama kepingan emas itu. – MYNEWSHUB.CC