BANGI – Sejumlah 2,100 pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Sabah telah mendapatkan bimbingan daripada Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) sejak November tahun lepas apabila perkhidmatan itu memulakan operasi di Kota Kinabalu.
Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan bagi KWSP Sabah Janaith Lee berkata penduduk Sabah bersikap terbuka kepada program khidmat bantuan itu dan beliau percaya lebih banyak sesi secara bersemuka dengan pencarum boleh diadakan di masa depan.
“Saya amat gembira dengan respons penduduk Sabah terhadap program ini. Pihak berkuasa tempatan, ketua kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung memberi kerjasama yang baik semasa kami memulakan program ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini baru-baru ini.
RAS adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang KWSP untuk menambah baik khidmat penyampaian dan membantu pencarum mencapai persaraan yang mampan.
Ia amat berguna kepada pencarum tanpa mengira usia atau jumlah simpanan mereka.
Lee berkata dua pegawai RAS di Kota Kinabalu turut memberi maklumat berkaitan produk KWSP termasuk Skim Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun dan simpanan bulanan serta perbelanjaan selepas usia 55 tahun.
“Masyarakat Sabah menantikan sambungan program khidmat bantuan ini memandangkan berikutan cabaran dari segi geografi, peluang untuk mengunjungi pejabat KWSP yang menyediakan perkhidmatan RAS adalah terhad,” katanya.
Soalan yang lazim dikemukakan termasuk sama ada pencarum boleh mengeluarkan semua simpanan KWSP mereka sebaik sahaja mencapai umur 55 tahun.
“Ahli diberi panduan dan pilihan yang boleh membantu mereka mengurus dan meningkatkan simpanan KWSP mereka,” katanya, dan menambah, setiap sesi berlangsung sekitar 30 hingga 45 minit.
Sementara itu, RAS memberi nasihat dan bimbingan percuma kepada pencarum tentang cara untuk membuat keputusan penting berkaitan simpanan KWSP mereka dan bagaimana wang mereka boleh disimpan lebih lama sepanjang tempoh persaraan.
“Saya menggesa lebih ramai ahli KWSP di Sabah supaya mengambil peluang daripada perkhidmatan percuma ini untuk membantu mereka dalam membuat keputusan bermaklumat berhubung persaraan dan perancangan kewangan mereka,” katanya.
Ini, jelas beliau, disebabkan dengan jangka hayat lebih panjang, simpanan akan terus berkurangan manakala mengekalkan waktu persaraan yang selesa akan menjadi lebih mencabar.
“Menjelang 1 Jan tahun depan, seseorang itu memerlukan kira-kira RM228,000 untuk membolehkannya mengeluarkan RM950 sebulan bagi tempoh lebih 20 tahun. Pada masa ini, simpanan asas untuk membolehkan pengeluaran bulanan RM820 adalah RM196,800,” katanya. – BERNAMA