BUKIT MERTAJAM – Polis menahan seorang lelaki dan merampas 205 bungkusan air ketum bernilai lebih RM1,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tok Elong, Kubang Semang di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata hasil maklumat dan risikan, polis menyerbu rumah itu pada 12 tengah hari Jumaat dan menahan lelaki berusia 41 tahun.
“Pemeriksaan dalam sebuah bilik di rumah lelaki itu, polis menemui dua tong ais warna oren dan mendapati terdapat 205 bungkusan air ketum,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki itu mendapatkan bekalan air ketum tersebut daripada sindiket sebelum menjual kepada pembelinya di sekitar kawasan SPT.
Katanya lelaki itu mampu mengaut keuntungan sehingga ribuan ringgit setiap bulan dengan hanya menjual air ketum.
“Dia yang tidak bekerja itu kini direman bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 30 Akta Racun 1052,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain Nik Ros Azhan berkata polis menahan seorang lelaki berumur 35 tahun dipercayai anggota sindiket mencuri kenderaan di hadapan sebuah hotel di Jalan Perusahaan Perai di sini, malam tadi.
Katanya sepasukan polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah menahan lelaki itu pada 10 malam dan pemeriksaan menemui pelbagai kunci kenderaan, kad Touch ‘n Go dan smart tag.
“Lelaki yang mempunyai 10 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah itu mengaku terlibat mencuri kenderan termasuk terbaru mencuri sebuah Proton Wira di Bukit Tengah baru-baru ini. Polis turut menemui semula kereta itu yang disembunyikan di rumahnya di Perai,” katanya.
Beliau berkata lelaki yang turut dikehendaki polis bersabit dua kes curi kenderaan itu kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan. – BERNAMA