SEPANG – Pengendali premis perjudian dalam talian di daerah ini dilihat sengaja memperlekehkan undang-undang apabila masih meneruskan operasi walaupun sudah berulang kali diserbu pihak berkuasa tempatan (PBT).
Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mendedahkan, ada antara pengendali yang diserbu sebanyak 18 kali, kembali beroperasi selepas tiga jam barangan dan premis mereka disita.
Ini kerana mereka tidak gentar dengan pihak berkuasa, malah undang-undang sedia ada juga tidak mampu mengekang kegiatan tersebut, demikian kata Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan MPSepang Hairol Azman Razali.
“Memang MPSepang mempunyai peruntukan di bawah Akta Undang-Undang Kecil Pusat Siber dan Kafe Siber (MPSepang) 2007, namun peranan kami terbatas dan terhad kepada tugas menyita barangan semata-mata.
“Berbanding Akta Perjudian di bawah bidang kuasa pihak berkuasa lain, peruntukan undang-undang ini lebih luas dan mempunyai kuasa untuk mendakwa pemilik premis ke mahkamah,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas mengetuai operasi membanteras judi haram secara dalam talian di sekitar Dengkil di sini hari ini, Hairol Azman berkata untuk tahun ini, pihaknya menjalankan 200 serbuan di seluruh Sepang, merampas 18,684 komputer dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM2 juta.
Daripada serbuan itu, Dengkil menjadi kawasan tertinggi merekodkan aktiviti haram itu dengan 112 premis telah disita yang rata-rata para pengunjungnya adalah dalam kalangan penjawat awam dari Putrajaya, katanya.
Dalam usaha membendung gejala tersebut dari terus berleluasa, Hairol Azman berkata pihaknya memohon kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyekat akses laman-laman perjudian haram, kebanyakannya dari luar negara.
Terdahulu, operasi kira-kira dua jam itu menyaksikan 11 premis perjudian diserbu dan puluhan kamputer dirampas dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM275,000. – BERNAMA