IPOH – Seorang peniaga didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini setelah mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu menjual dan memiliki cecair vape mengandungi racun nikotin pada November tahun lepas.
Majistret Siti Hanum Mohmad Sah memerintahkan Meor Sukri Meor Osman, 39, menjalani hukuman penjara tujuh hari jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda tersebut.
Dia didakwa menjual sebotol cecair dan memiliki 14 botol cecair vape pelbagai perisa tanpa lesen di bawah Akta Racun 1952 di Meru Impiana Enterprise di No. 9A, Jalan Ampang Baru 6C, Pusat Perdagangan Ampang Baru di sini, antara 3 petang dan 3.20 petang, 5 Nov 2015.
Bagi pertuduhan menjual cecair vape beracun, Meor Sukri didakwa mengikut Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32 (2) akta sama yang boleh dipenjara maksimum setahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan memiliki pula, dia didakwa mengikut Seksyen 13 (b) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32 (2) akta sama yang boleh dipenjara maksimum setahun atau didenda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Cawangan Penguatkuasa Farmasi Negeri Perak Mohd Faiz Abdullah Sahimi, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Shamil Azad Abdul Halim. – BERNAMA