SENGSARA… itu yang dialami 25 penumpang bas Starmart Express yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura, Isnin lalu apabila kulit mereka berasa gatal-gatal sehingga membengkak akibat digigit pepijat.
Menurut seorang penumpang, Syafiq Harun, kegatalan itu mula terasa di bahagian lehernya selepas 40 minit menaiki bas tersebut sebelum merebak ke tangan dan bahagian badan lain.
Pada masa yang sama, Syafiq juga tidak menyangka masalah gatal-gatal yang dialami turut menimpa penumpang lain.
Akibat kesan kegatalan itu, kulit Syafiq dan para penumpang lain juga dilapor membengkak.
“Saya ingat hanya berlaku pada saya dan saya fikir ia akibat alahan, namun saya memang tiada masalah alahan.
“Kami tangkap banyak [pepijat] di kerusi, lantai, beg dan di badan kami.” katanya kepada portal The Today.
Pada masa yang sama, Syafiq turut dimaklumkan oleh pemandu bas tersebut bahawa kenderaan itu adalah bas simpanan dan tidak digunakan sejak dua minggu lepas.
Sementara itu, seorang lagi penumpang bernama Hannnah Zekie turut memuat naik insiden tersebut di laman sosialnya.
Wanita itu mendakwa penumpang menderita digigit selama tujuh jam perjalanan dari jam 4 petang hingga 1 pagi.
Dia juga mahukan syarikat bas dari Singapura itu membayar ganti rugi kos keseluruhan tambang bas dan perubatan.
“Saya berjaya menangkap lebih 10 ekor pepijat [waktu kejadian] dan seluruh badan saya benar-benar gatal,” katanya di Facebook. – MYNEWSHUB.CC