POLIS kini sedang giat memburu seorang lelaki yang dipercayai bergerak aktif melalukan kegiatan ragut di sekitar daerah Tampin, Negeri Sembilan dan Melaka sejak awal bulan ini.
Gambar lelaki terbabit yang dirakam orang awam tersebar meluas menerusi laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak minggu lalu.
Antara komen dimuat naik termasuk; “Waspada lelaki Melayu ini. Kaki ragut menggunakan motosikal Yamaha RXZ bernombor plat BLA 931. Bergiat cergas di Gemencheh, Selandar dan Jasin.”
Menurut sumber netizen, lelaki berusia 30-an itu menunggang motosikal Yamaha RXZ dengan mengelilingi kawasan perumahan bagi mencari mangsa.
“Lelaki terbabit menyasarkan kawasan sunyi dan golongan wanita untuk melakukan jenayah. Dia meragut barangan berharga seperti beg tangan dan barang kemas sebelum melarikan diri.
“Lelaki itu aktif melakukan kegiatan tersebut di beberapa kawasan di Gemencheh selain Selandar dan Jasin di Melaka.
“Dia dipercayai melakukan kegiatan jenayah itu pada waktu pagi ketika orang ramai keluar untuk bekerja,” katanya. – MYNEWSHUB.CC