KUALA LUMPUR – Majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2016 dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan dan acara menaikkan bendera UMNO di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Presiden UMNO tiba pada 9 pagi bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan disambut Ketua Pergerakan Wanita Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Najib, yang berpakaian baju Melayu berwarna biru diiringi Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama-sama Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ke pentas khas untuk menerima tabik hormat daripada komander perbarisan, Mohamad Akmal Mohd Tajul Ariffin serta 150 anggota ketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.
Presiden UMNO itu kemudian menaikkan bendera UMNO ‘Sang Saka Bangsa’ dengan diiringi nyanyian lagu UMNO, ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ oleh para anggota dan hadirin yang menyaksikan acara itu.
Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin diberi penghormatan untuk memulakan acara perbarisan sempena perasmian perhimpunan agung parti.
Penghormatan itu diberikan UMNO sebagai penghargaan atas pertauliahan pangkat Brigadier Jeneral yang diterima Khairy dalam pasukan Askar Wataniah yang berkuat kuasa 14 Jan 2015.
Pada majlis itu, lagu tema perhimpunan pada kali ini ‘Melayu Bersatu’ dinyanyikan oleh kumpulan koir mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Selesai majlis itu, Najib bergerak ke Dewan Merdeka bagi menyampaikan ucapan dasar Presiden sekali gus merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2016.
Seramai 2,762 perwakilan dari 191 bahagian menghadiri perhimpunan tahunan selama tiga hari hingga Sabtu ini. – BERNAMA