PADA pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di PWTC menjelang Perhimpunan Agung UMNO bula lalu, isu Rohingya menjadi topik utama dalam perbualan ringkas selepas mewawancara beliau.
“Perbuatan terhadap umat Islam Rohingya sesuatu yang tidak dapat diterima,” katanya.
Ia perbualan kasual tetapi beremosi. Wajah TPM jelas marah dan kecewa. Walaupun pada sesi rakaman wawancara TV selama sejam sebelum itu, TPM sudah menjawab dengan tegas dan jelas mengenai keseriusan Malaysia dalam menyuarakan protes terhadap Myanmar.
“Mana boleh kita biarkan. Ia sah-sah pembunuhan terhadap orang Islam di sana,” katanya.
Dalam sesi wawancara itu, TPM sudah menyatakan komitmen Malaysia untuk mengkritik Myanmar di peringkat platform Asean.
“Kita akan melakukannya hingga ke peringkat Mesyuarat Menteri Luar ASEAN,” kata TPM.
Selepas sesi tersebut, pertemuan dengan aktivis ASEAN Rohingya Center (ARC) di The Loaf Sogo, menjelaskan lagi betapa kritikal konflik Rohingya.
Apa pun ARC tetap berpegang pada perancangan jangka panjang: Usaha melobi pembelaan terhadap Rohingya harus ke platform lebih tinggi.
ARC berpendapat, suara kritikan terhadap Rohingya harus melangkaui platform Asean.
Isu Rohingya bagi ARC, harus dilaungkan sampai ke PBB. Lobinya perlu dilakukan OIC kerana ia mewakili 52 buah negara Islam.
Pada 19 Disember lalu, Mesyuarat Menteri Luar ASEAN pun berakhir di Nyapidaw. Namun, keadaan tidak seperti diharapkan.
Di peringkat ASEAN, Malaysia masih bersendirian. Manakala Indonesia dan Brunei tidak berada dalam mood kritital untuk mendesak Myanmar.
Justeru, platform ASEAN jelas gagal. Tiada usaha kontruktif badan serantau itu untuk menubuhkan jawatankuasa bagi menyelesaikan krisis kemanusiaan di Myanmar. Apa lagi menubuhkan Suruhanjaya Siasatan.
Justeru, selepas 19 Disember tiada perubahan berlaku di Arakan (wilayah yang diubah namanya menjadi Rakhine oleh junta Myanmar). Berita pembunuhan terhadap etnik Rohingya terus berleluasa.
Di peringkat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pula, usaha melobi isu Rohingya kekal berada di senarai bawah. Krisis di Syria termasuk keganasan terbaharu di Aleppo menjadi keutamaan.
Skala krisis kemanusiaan di Syria menenggelamkan nasib Rohingya.
Hingga hari ini, Arakan News Agency terus menyiarkan foto-foto pembunuhan terhadap etnik Rohingya. Termasuk pembunuhan terbaharu seorang lelaki Rohingya yang disyaki menyampaikan maklumat pada media asing.
Beginilah nasib lebih sejuta penduduk Rohingya yang terperangkap di Arakan. Suara pembelaan di peringkat ASEAN ternyata gagal kerana Malaysia bersendirian.
Manakala di peringkat OIC, isu utama tetap terarah pada krisis di Aleppo. Bukan hanya masalah Syria, OIC turut berdepan dengan konflik perang saudara di Yaman. Itu belum termasuk isu Iraq dan Libya. Manakala isu Palestin dan Afghanistan kekal sebagai ‘akaun’ lama yang tidak pernah selesai.
Isu Rohingya, kini sepenuhnya bergantung pada kesungguhan Malaysia. Tanpa sokongan ASEAN dan OIC, Malaysia perlu melobi ke peringkat PBB, agar satu tindakan drastik dikenakan terhadap Myanmar.
Ketika tumpuan OIC dan PBB lebih cenderung pada krisis di Syria dan Yemen – pembunuhan demi pembunuhan akan berleluasa di Arakan.
Tanggungjawab Malaysia dalam memperjuangkan nasib umat Islam Rohingya sangat kronik. Dalam Asean, kita bersendirian. Di peringkat OIC pula, Rohingya bukan senarai utama. Manakala PBB terus mengutamakan meletakkan konflik di Asia Barat.
Sekali pun sangat kompleks, Malaysia tidak boleh mengalah. Survival umat Islam Rohingya bergantung pada komitmen dan konsistensi Malaysia.
Kita harus cekal melangkah.