KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan DAP Pulau Pinang mengarahkan kerja-kerja pengorekan dan perlombongan pasir di muara-muara Sungai Kelian dan Sungai Kechil di Tanjung Bungah dihentikan segera.
Presidennya, S.M. Mohamed Idris berkata, aktiviti itu memusnahkan pantai berpasir dan persisiran pantai sekali gus membimbangkan penduduk dan nelayan di Pulau Pinang yang tinggal di pinggir pantai berhampiran kawasan tersebut.
“Pengambilan pasir dari kawasan berpopulasi tinggi di Pulau Pinang yang memusnahkan persekitaran pantainya untuk memperindahkan pantai di kawasan hotel ibarat ‘merompak Peter untuk membayar Paul’.
“Ianya tidak beretika, tidak bermoral dan haruslah dikutuk kuat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
S.M. Mohamed dalam pada itu menuntut kerajaan DAP Pulau Pinang dibawah pentadbiran Ketua Menteri, Lim Guan Eng supaya mendedahkan rancangan ke atas perlombongan pasir tersebut.
Kata beliau, kerajaan DAP Pulau Pinang perlu juga membenarkan penelitian awam dan ulasan terhadap rancangan-rancangan atau tindakan tersebut.
Tambahnya, Laporan Kesan Penilaian Kepada Alam Sekeliling (EIA) perlu juga didedahkan untuk rakyat mengetahui hasil kajian mengenai aktiviti itu.
“Sehingga itu, semua pengorekan pasir dan aktiviti perlombongan pasir di Pulau Pinang mesti dihentikan,” katanya. – MYNEWSHUB.CC