WASHINGTON DC – Publisiti pihak pembangkang khasnya Pakatan Harapan diketuai DAP, memang ‘riuh’ mengenai kes saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) berkaitan isu 1MDB.
Kononnya pihak berkuasa AS itu bakal menyita jutaan dolar aset milik pihak tertentu yang dikatakan ada kaitan dengan sayap pelaburan strategik kerajaan Malaysia tersebut sebagai penyelewengan terbesar dalam sejarah dunia!
Meskipun tidak dinyatakan secara terbuka, pembangkang kecoh memainkan isu konon salah seorang suspek dirujuk sebagai Malaysian Offfcial 1 atau MO1 turut dinamakan DOJ dengan terlibat langsung dalam skandal korupsi itu.
Lebih lucu, pembangkang membuat petisyen konon untuk diserahkan kepada pentadbiran White House di AS bagi mendesak DOJ mendedahkan identiti sebenar MO1 sebagai taktik cuba memburukkan kepimpinan negara sendiri.
Bagaimanapun mereka akhirnya ‘gigit jari’ apabila melihat realitinya petisyen tersebut gagal mencapai sasaran yang ditetapkan sekali gus membuktikan rakyat Malaysia tidak berminat dengan ‘permainan’ politik licik pembangkang.
Usaha mereka menerusi satu petisyen awam bagi menggesa pihak Rumah Putih dedahkan identiti siapa MO1 yang disebut dalam saman sivil DOJ juga jelas tidak dapat sambutan daripada penyokong pembangkang sendiri.
Menurut portal berita AgendaDaily, petisyen selama sebulan dikelolakan Jawatankuasa Sivil Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) itu cuma mendapat 25,986 tandatangan apabila ditutup Sabtu.
White House lazimnya hanya melayan sebarang petisyen berkaitan apa-apa isu berkepentingan awam daripada mana-mana pihak di seluruh dunia jika ia berjaya mengumpul sekurang-kurangnya 100,000 tandatangan.
Situasi itu turut menimbulkan tanda tanya ‘kelesuan’ sokongan penyokong antikerajaan apatah lagi sebelum ini riuh ‘canang’ lebih 1.4 juta menandatangani Deklarasi Rakyat diusahakan pembangkang. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA