ADAKAH benar Pilihanraya Umum ke-14 akan diadakan tahun hadapan? Itu persoalan yang timbul apabila sekeping surat ‘tersebar’ melalui aplikasi WhatsApp baru-baru ini.
Jika sebelum ini, ramai yang meramalkan PRU ke-14 bakal diadakan awal tahun 2017 dan mungkin dengan kemunculan ‘surat’ ini dapat memberi bayangan atau ianya akan menjadi nyata kepada ramalan ramai pihak.
Dalam surat yang dipercayai dikeluarkan Pejabat Pendidikan Daerah Tawau, Sabah itu jelas menunjukkan maklumat mengenai tarikh taklimat petugas PRU ke 14 bagi peringkat parlimen Kalabakan, Sabah.
Difahamkan, agihan surat tersebut adalah sebagai persediaan dan pengurusan pentadbiran pilihan raya bagi kawasan parlimen untuk disertai oleh petugas yang terdiri daripada kalangan guru dan kakitangan sekolah.
Taklimat tersebut bermula 20 Januari hingga 16 Mac tahun hadapan yang membabitkan taklimat undian awal, undi pos dan petugas-petugas pilihan raya terlibat.
Ia juga membabitkan petugas yang terlibat di bahagian Dewan Undangan Negeri iaitu di Tanjung Batu, Sebatik, Kukusan dan Merotai.
Surat yang menggunakan nama pegawai dari PPD Tawau ini dipercayai diagihkan di semua sekolah di Sabah bagi memudahkan penyusunan takwim di peringkat sekolah bagi memudahkan guru dan petugas PRU yang dilantik dapat menghadiri taklimat yang dirancang.
Perkongsian surat tersebut memberi bayangan jelas bahawa PRU ke-14 bakal diadakan tahun hadapan.
Difahamkan, PRU ke-14 bakal diadakan selepas Sukan SEA ke-29 dimana Malaysia menjadi tuan rumah kepada temasya sukan tersebut.
Pilihan Raya umum ke-14 (PRU14) yang sepatutnya berlangsung pada tahun 2018 akan diadakan seawal tahun hadapan.
Walaubagaimanapun sehingga kini, masih tiada sebarang kepastian sama ada PRU ke-14 akan diadakan lebih awal ataupun tidak. – MYNEWSHUB.CC