GEORGE TOWN – Polis membuka kertas inkuari polis (KIP) insiden pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas semalam bagi menyiasat sama ada kejadian itu mempunyai unsur kecuaian.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Ghafar Rahim berkata siasatan yang dijalankan oleh polis lebih menjurus kepada kemungkinan berlaku kecuaian atau sebab lain dan bukan berkaitan teknikal.
“Siasatan berkaitan teknikal akan dijalankan oleh TUDM, polis akan siasat dan tengok sama ada berlaku ‘off hand’ atau tidak ketika insiden itu.
“Kita juga tidak tahu apa yang berlaku sebelum kejadian berkenaan (terhempas),” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Dalam kejadian 5.18 petang Rabu, sebuah pesawat TUDM jenis Beechcraft B200T yang berlepas dari Pangkalan TUDM Subang terhempas berhampiran Terminal Peluru Pangkalan Udara Butterworth, mengorbankan seorang juruterbang, C.Kayamboo, 45, manakala tiga yang lain cedera. – BERNAMA